Saturday 21 November 2015

CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA

KEGAGALAN DAN HALANGAN MERUPAKAN SATU PILIHAN




1. KEWANGAN


Pada awalnya, Dato’ Haji Ramly Bin Mokni mengalami kekangan kewangan dalam memulakan perniagaan burgernya. Ketika itu dilaporkan bahawa beliau hanya mempunyai RM 2000 sebagai modal bagi permulaan perniagaannya. Oleh yang demikian, pelbagai usaha telah dilakukan antaranya beliau memohon pinjaman kewangan daripada badan-badan pinjaman kerajaan. Pinjaman pertama yang dilakukan ialah beliau telah mengambil keputusan untuk meminjam daripada MARA (Ramly Food Processing Sdn Bhd, 2010). Namun, harapan tidak menjadi kenyataan. Hal ini kerana perniagaan beliau iaitu perniagaan memproses dan menjual burger ini dianggap masih baru lagi pada ketika itu. Beliau juga dilihat masih belum mempunyai kredibiliti dalam membangunkan perniagaan tersebut. Walau bagaimanapun, Dato’ Haji Ramly bin Mokni tidak berputus asa. Beliau mencuba pula untuk memohon pinjaman kepada Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Akhirnya, percubaannya pada kali ini telah membuahkan hasil. Beliau berjaya memperoleh pinjaman tersebut.

2. DNA BABI


Pada suatu ketika dahulu, sebuah isu telah heboh diperkatakan oleh masyarakat mengenai terdapatnya DNA babi di dalam produk Burger Ramly. Isu ini tergempar setelah tersebarnya sebuah salinan surat dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang mendakwa telah menemui DNA babi hasil kajian satu bahan daripada produk Burger Ramly berdekatan Daerah Yan.

Setelah tersebarnya berita ini, orang ramai mula keliru dan ragu-ragu terhadap produk Burger Ramly. Walau bagaimanapun, Dato’ Haji Ramly bin Mokni, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly telah tampil dan memberikan keterangan mengenai isu ini. Pada 1 Disember 2011, beliau telah menghantar surat terbuka yang mengatakan bahawa isu ini hanya merupakan suatu fitnah yang dilakukan oleh suatu pihak bagi mensabotaj produknya. Tambahan beliau lagi, syarikat bagi produk Burger Ramly ini dimiliki sepenuhnya oleh keluarga beliau yang beragama islam, serta juga mempunyai seramai 1000 orang pekerja yang sememangnya mereka juga beragama islam (Ikhwan, 2012). Oleh yang demikian, sebagai seseorang yang beragama islam, beliau amat memberi penekanan dari segi aspek halal haram serta mempunyai jabatan dan jawatankuasa halal bagi mengenalpasti dan mengekalkan status halal produk yang diproses dan dikeluarkan.

 Menurut dakwaan beliau lagi, sebuah aduan telah dilakukan berikutan dengan penemuan kertas bungkusan bukan milik kepada produk Burger Ramly. Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan yang dilakukan oleh orang lain dalam mensabotaj barangan beliau.

Tidak berapa lama kemudian, berikutan dengan isu DNA babi ini, Jabatan Kesihatan Daerah Kulim, Kedah telah menjalankan sebuah lagi ujian terhadap produk Burger Ramly (Ikhwan, 2012). Pada ujian kali ini, para pengkaji daripada jabatan tersebut mendapati dan mengesahkan bahawa sememangnya tiada DNA babi ditemui. Ini merupakan salah satu daripada bahan bukti yang kukuh untuk menyangkal cemuhan-cemuhan serta kutukan-kutukan orang ramai terhadap produk beliau. 

3. PENGHARAMAN DI SINGAPURA


Burger Ramly mudah untuk didapati di mana-mana pasar malam ataupun gerai-gerai di Malaysia Dalam erti kata lain Burger Ramly sangat popular di kalangan rakyat Malaysia. Namun, tidak pula di negara jiran yang paling dekat dengan Malaysia iaitu Singapura. Hal ini kerana kerajaan mereka telah mengharamkan daging dan ayam  daripada pengeluaran produk Burger Ramly dalam jangka waktu yang lama. Akibat daripada pengharaman ini, produk ini hanya dikenali sebagai pembungkus makanan di Singapura.

            Pada tahun 1979, produk Burger Ramly sememangnya telah pun berkembang dengan baik ke serata negara-negara jiran termasuklah Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Pasaran di negara-negara ini telah ditembusi oleh sebuah produk buatan tempatan yang mana menjadi kebanggaan masyarakat pada masa kini iaitu Burger Ramly. Perkembangan ini sangat memberangsangkan kecuali negara Singapura yang mana produk ini hanya dikenali sebagai pembungkus makanan, barang buatan seperti mayonis dan makanan sejuk beku seperti bebola ikan yang memasuki pasaran Singapura. Perkara ini terjadi adalah kerana di Singapura telah pun mempunyai pengusaha-pengusaha burger mereka sendiri seperti Sultan Burger, Tasty dan ada beberapa lagi. Sehubungan dengan itu, mereka seolah-seolah tidak ingin produk Burger Ramly bersaing bersama pengusaha burger mereka yang telah sedia ada.

4. SYARIKAT BUKAN BUMIPUTERA


Ramly Food Processing Sdn. Bhd. telah dituduh bahawa kepentingan syarikat ini telah dijual kepada syarikat bukan bumiputera. Walau bagaimanapun isu ini telah dinafikan dengan dijelaskan bahawa syarikat itu kekal di tangan pengasasnya iaitu  Dato’ Haji Ramli bin Mokni. Keterangan ini dibuat sendiri oleh Pengurus Kanan Pemasaran Ramli Mokni Sdn. Bhd, iaitu Siti Rahayu binti Ramly. Beliau yang merupakan generasi kedua kepada pengasas syarikat itu tampil ke hadapan untuk menangani isu ini setelah ianya tersebar luas melalui saluran internet. Dipetik kata-kata beliau daripada Arkib Utusan Malaysia, “saya tidak mengetahui mengenai perkara ini bahawa bagaimana isu ini boleh timbul dan apakah faktor-faktornya”. Tambahan beliau lagi, “satu lagi perkara yang ingin saya tekankan bahawa semua produk kami adalah semestinya halal dan mematuhi setiap aspek dan prosedur Syariah.

No comments:

Post a Comment